Khamis, 20 September 2012

Mencari jentik-jentik

'

Hai, apa khabar? Sihat? :D
Hari ini kami nak kongsikan pengalaman kami mencari jentik-jentik dan juga mendengar sedikit taklimat tentang bahaya denggi. Selamat membaca...


Rabu, 5 September 2012. 
Saya perlu pergi ke sekolah bagi menjalankan misi mencari jentik-jentik dan juga mendengar sedikit taklimat tentang bahaya denggi.  Saya ke sana dengan menaiki sebuah kereta Avanza yang berwarna hitam. Saya tiba di sekolah pada pukul 7.30 pagi. Kemudian, saya pergi ke kantin dan duduk di atas kerusi  sambil menunggu kawan-kawan saya tiba. Apabila kawan-kawan saya sampai, kami berbual bersama-sama. Setelah lama berbual, akhirnya, cikgu kami pun sampai di sekolah.

Semua pengawas denggi yang hadir pada hari itu perlu ada sebuah bekas kerana kami semua ditugaskan mencari jentik-jentik. Selepas itu, kami diberi pilihan sama ada hendak membeli bekas atau pun mengambil bekas dari tong sampah kemudian membasuhnya. Saya dan ahli kumpulan saya memilih pilihan kedua iaitu mengambil bekas dari tong sampah kemudian membasuhnya. Cikgu menyuruh kami semua  mencari jentik-jentik di Taman Ikan. Setelah lama mencari, akhirnya, kami dapat menemui jentik-jentik. Kami menemui  jentik-jentik tersebut di dalam sebuah tong yang berisi air dan tidak tertutup. Terdapat banyak jentik-jentik. Kami mencedok jentik-jentik itu dengan menggunakan bekas. Kemudian, kami menuang jentik-jentik itu ke atas tanah yang rata. Setelah selesai, cikgu kami memberitahu guru besar bahawa kami telah menemui jentik-jentik di dalam sebuah tong yang berisi air.Setelah itu, cikgu membuang air yang terdapat di dalam tong itu lalu menyimpan tong tersebut.

Selepas itu, cikgu membawa kami semua ke surau yang terletak di blok A. Kami telah diberi fail yang berisi buku nota, pen biru dan sebagainya. Kemudian, kami mendengar taklimat bahaya denggi yang disampaikan oleh Cik Ila Sabrina binti Ismail dari  Jabatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Kami mencatat segala isi-isi penting mengenai nyamuk aedes dan denggi. Tepat pukul 10.00 pagi, tamat sudah taklimat tersebut. Kami sempat mengambil gambar bersama-sama.
Jika anda ingin melihat gambar-gambar tersebut, sila klik di SINI.


Info Denggi

Kitaran hidup nyamuk Aedes dari telur menjadi nyamuk dewasa hanya mengambil masa selama 7 hari
                     
Hai, tajuk pada kali ini adalah berkaitan dengan demam denggi.

Demam denggi merupakan sejenis penyakit yang berjangkit dan disebarkan oleh nyamuk aedes betina. Terdapat dua jenis nyamuk aedes iaitu aedes aegypti dan aedes albopictus.  Demam denggi berdarah(dengue hemorrhagic fever) dan Sindrom Renjat Denggi (Dengue Shock Syndromes) merupakan  bentuk denggi yang paling berbahaya. Demam denggi dapat disahkan apabila mempunyai tanda-tanda seperti demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik merah pada kulit, sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi, biji mata dan kepala, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah, sakit perut, rasa pahit pada lidah, lemah dan tidak bermaya serta mempunyai ulcer (mata ikan) pada mulut kerana terlalu panas. Tetapi tidak semestinya disahkan demam denggi. Ujian akan dilakukan beberapa kali dan kalau platelet darah turun mendadak hingga bawah 150,000mm3 baru disyaki denggi. Terdapat empat jenis virus denggi. Virus-virus tersebut dikenali sebagai DEN-1,DEN-2,DEN-3 dan DEN-4. Simptom demam denggi adalah mengikut usia pesakit. Denggi juga tidak merebak secara langsung dari seorang ke seorang yang lain. Pada masa kini tidak terdapat vaksin untuk demam denggi.Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air (seperti dalam bekas bunga) terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik dan memelihara ikan seperti ikan gapi dan puyu juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik.Kiambang dan teratai yang ditanam dalam pasu mungkin menghadapi masalah pembiakan jentik-jentik dan terpaksa ditukar airnya setiap minggu. Bagi mengatasi masalah ini,campurkan dua titis minyak masak atau minyak bayi kedalam air,nescaya jentik-jentik akan mati. Penggunaan kelambu dan juga semburan boleh membantu. Nyamuk aedes bukannya serangga malam.Waktu kemuncak nyamuk ini mencari makan ialah di awal pagi dan di awal senja.
Anda boleh memutuskan kitaran hidup NYAMUK AEDES dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan jentik-jentik di dalam dan di luar rumah seminggu sekali.

Ayuh sama-sama kita luangkan 10 minit setiap hujung minggu untuk membersihkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di rumah kita. Antara tempat-tempat yang harus diperiksa ialah:

Dalam rumah

-Talam Peti Sejuk
-Pelapik Rak Pinggan
-Perangkap Semut
-Kolah air
-Pam Tandas
-Mangkuk Tandas Yang Rosak
-Baldi
-Bekas Jambangan

Luar Rumah

-Tong Drum Yang Berisi Air
-Tempayan
-Pasu Bunga
-Alas Pasu Bunga
-Pelbagai Jenis Tin
-Tayar
-Takungan Hidroponik
-Kanvas, Semua Jenis Plastik
-Bekas Minuman Binatang Peliharaan
-Bekas Makanan Polisterin
-Longkang
-Salur Air Hujan (untuk dilakukan oleh orang dewasa sahaja)

Sabtu, 15 September 2012

Taklimat Bahaya Denggi

Hai...Hari ini kami ingin memaparkan kepada anda beberapa gambar tentang Taklimat Bahaya Denggi.













Jumaat, 14 September 2012

Soalan-soalan yang berkaitan dengan denggi atau nyamuk aedes

Hai, hari ni kami ingin berkongsi soalan-soalan yang berkaitan dengan deggi atau pun nyamuk aedes.
Soalan ini diambil dari facebook SEJATI dengue patrol.

Antara soalannya ialah :



1) Bilakah waktu kemuncak nyamuk aedes mencari makan?
 Waktu kemuncak nyamuk aedes mencari makan ialah pada awal pagi dan petang.

2) Namakan 2 jenis nyamuk aedes yang menjadi punca utama demam denggi.
Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus.

3) Nyatakan EMPAT tanda klinikal denggi berdarah.
Demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran  darah.

4) Nyatakan DUA jenis pokok yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan aedes.
Dua jenis pokok tersebut ialah pokok keladi dan pokok pisang.

5)Nyatakan 2 cara mengelakkan gigitan nyamuk aedes.
1. Membersihkan longkang-longkang di tempat tinggal.
2. Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga.

6) Berapa lamakah tempoh seseorang itu akan mula menunjukkan tanda-tanda demam denggi         setelah digigit nyamuk yang membawa virus? 
 3 hingga 14 hari sebelum menunjukkan tanda-tanda demam denggi.

7) Bagaimanakah seseorang pesakit itu disahkan menghidap demam denggi?
Demam denggi dapat disahkan apabila mempunyai tanda- tanda seperti demam kuat yang mengejut, bintik merah pada kulit, sakit teruk       pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi, biji mata dan kepala, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan,muntah-muntah, sakit perut, rasa pahit pada lidah, lemah dan tidak bermaya serta mempunyai ulcer (mata ikan) pada mulut kerana terlalu panas.(tetapi kena buat blood test dulu). Ujian akan dilakukan beberapa kali dan kalau platelet darah turun mendadak hingga bawah 150,000mm3 baru disyaki denggi.

8) Nyatakan kaedah rawatan denggi.
Seseorang pesakit demam denggi perlu dirawat dengan berjumpa doktor dan mengambil ubat seperti yang disarankan oleh doktor. Pesakit perlulah banyak berehat sehingga sembuh selain membanyakkan minum air untuk menurunkan suhu badan.

9) Nyatakan cara menghapuskan jentik-jentik selain menabur abate dan membersihkan tempat     takungan air.
Sekiranya terdapat takungan air di rumah yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik, tempat       tersebut perlulah diletakkan dengan sedikit minyak atau peliharalah ikan di dalamnya.

10) Virus denggi akan kekal di dalam tubuh seseorang walaupun telah sembuh. Bagaimanakah virus denggi di dalam tubuh seseorang dijangkitkan kepada orang lain?
Tidak semua nyamuk aedes membawa virus denggi walaubagaimanapun sekiranya nyamuk aedes yang tidak membawa virus menggigit seseorang yang pernah kena demam denggi, nyamuk tersebut akan menyimpan virus tersebut di dalam air liurnya dan apabila nyamuk tersebut menggigit orang lain, virus tersebut akan dipindahkan kepada orang tersebut menyebabkan orang tersebut dijangkiti denggi.

11) Apakah cara terbaik mengelak gigitan nyamuk semasa menuggu bas diawal pagi.
Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu.(contohnya semasa menuggu bas diawal pagi).Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk.

12) Apakah maksud Sindrom Renjatan Denggi?
Sindrom Renjatan Denggi ini adalah penyakit denggi yang lebih merbahaya dari demam denggi berdarah.Keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari. Kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral dan pesakit merasa tidak selesa. Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal.Renjatan ini akan menyebabkan denyutan nadi menjadi lemah dan cepat dan tekanan darah rendah.Pesakit yang mengalami renjatan berada dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa.Jangka masa renjatan adalah pendek.Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 - 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.

13 ) Adakah denggi boleh berulang pada orang yang pernah dijangkiti sebelumnya? Terangkan dengan perkataan anda sendiri sebagaimana yang anda fahami.
Ya, orang yang pernah kena demam denggi boleh kena demam denggi lagi sekali kerana virus denggi ada 4 jenis. Badan manusia tidak imun terhadap keempat-empat virus tersebut. Itu sebab setiap orang yang pernah demam denggi boleh kena demam denggi lagi.

14) Apakah perbezaan aedes aegypti dan aedes albopictus?
Perbezaan pada nyamuk aedes aegypti dan albopictus adalah pada ciri fizikal dan juga tempat pembiakan dan mencari makannya. Kedua-dua nyamuk ini berbelang diseluruh badan tetapi yang membezakan rupanya ialah aegypti ada garis putih di kepala manakala albopictus pula ada garis putih di kepala hingga belakang. Kedua-dua nyamuk ini membiak di dalam takungan air tetapi aegypti adalah nyamuk yang membiak tanpa mengira tempat asalkan takungan air jernih dan bersih berbanding albopictus yang gemar membiak di sekitar rumah manusia.

15) Nyatakan peringkat demam denggi yang anda tahu.
1. Denggi dan demam biasa. 
2. Demam denggi klasik.
3. Demam denggi berdarah. 
4. Sindrom kerenjatan denggi.

16)Sebutkan semua tempat takungan air yang mungkin menjadi tempat pembiakan aedes di dalam dan luar rumah yang anda tahu.
 Dalam rumah

-Talam Peti Sejuk
-Pelapik Rak Pinggan
-Perangkap Semut

-Kolah air
-Pam Tandas
-Mangkuk Tandas Yang Rosak
-Baldi
-Bekas Jambangan

Luar Rumah

-Tong Drum Yang Berisi Air
-Tempayan
-Pasu Bunga
-Alas Pasu Bunga
-Pelbagai Jenis Tin
-Tayar
-Takungan Hidroponik
-Kanvas, Semua Jenis Plastik
-Bekas Minuman Binatang Peliharaan
-Bekas Makanan Polisterin
-Longkang
-Salur Air Hujan (untuk dilakukan oleh orang dewasa sahaja)


17)Sekiranya sebanyak 6 ekor jentik-jentik ditemui di rumah Ahmad, berapakah jumlah denda yang dikenakan kepada Ahmad? 
Sekiranya bukan pegawai penguatkuasa yang menjumpai jentik-jentik tersebut, Ahmad tidak dikenakan denda tetapi jika pegawai penguatkuasa yang membuat pemeriksaan menemui jentik-jentik tesebut, Ahmad boleh dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM500.

18)Sila nyatakan cara mengelakkan pembiakan jentik-jentik dan cara menghapuskan nyamuk aedes dewasa yang anda tahu.
Cara mengelakkan pembiakan jentik-jentik ialah dengan membersihkan tempat pembiakan jentik-jentik dan cara-cara menghapuskan nyamuk aedes dewasa ialah dengan semburan racun serangga dan semburan berkabus.

19)Sila nyatakan cara mengelakkan pembiakan jentik-jentik dan cara menghapuskan nyamuk aedes dewasa selain jawapan di atas.
1. Menghapuskan nyamuk aedes dewas dengan menggunakan racun penyembur serangga di rumah.
2. Semburan kabus (fogging) secara berkesan perlu dilakukan dan orang ramai harus memberi kerjasama   dan membenarkan petugas menyembur kabus di dalam ruma
h.
3. Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik seperti Abate ke dalam semua bekas menyimpan air tiga bulan sekali. 
4. Tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur.
5. Tukar air dalam tempayan, jambangan bunga dan kolah mandi setiap minggu dan cuci serta berus sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru.
6. Buang air dari piring alas pasu dari masa ke semasa dan berus piring itu hingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.
7. Tanam semua benda atau bekas yang boleh menakung air hujan seperti botol, tin kosong, tempurung kelapa, kulit buah koko dan lain-lain.
8. Bersihkan saluran air hujan (saluran bumbung).
9. Pastikan tayar-tayar buruk atau tak terpakai tidak menakung air.


20)Berdasarkan pengetahuan anda negeri apakah yang mencatatkan kes denggi tertinggi di Malaysia?
Negeri Selangor dan Wilayah mencatatkan kes denggi tertinggi di Malaysia.

21)Nyamuk aedes jantan atau aedes betina yang menghisap darah manusia dan menyebabkan jangkitan?
Nyamuk aedes betina yang membawa virus denggi.






   

                                                                                              












Catatan kami..


11 September 2012
Saya dan rakan-rakan saya tiba di sekolah pada pukul 7:30 pagi. Kami berasa tidak sabar kerana aktiviti yang akan dijalankan sebentar lagi. Setelah itu, kami mengambil sarapan di kantin sekolah pada pukul 8:00 pagi. Setengah jam kemudian, barulah cikgu kami tiba di kantin sekolah. Selepas itu, barulah kami mula menjalankan tugas. Kami dan ahli kumpulan yang lain ditugaskan untuk mengecat dinding bilik pameran dan juga dinding di tangga sekolah. Tepat pukul satu, tamatlah sudah aktiviti tersebut.

12 September 2012
Hari yang lain tetapi masih sama waktu seperti saya tiba di sekolah semalam. Cuma, rakan-rakan saya sedikit lambat hari ini. Beberapa minit kemudian, barulah rakan-rakan saya tiba. Kemudian, kami berkumpul di kantin untuk mengambil sarapan. Sementara menunggu para guru habis bermesyuarat, saya dan rakan-rakan saya sempat berehat-rehat. Pada pukul 9:00 pagi, kami mula menjalankan tugas. Kami perlu membersihkan bilik pameran. Setelah tiga jam menjalankan tugas, akhirnya bersih juga bilik pameran itu.

13 September 2012
Hari ini, kami dan ahli kumpulan yang lain perlu datang ke rumah cikgu. Kami ke sana dengan menaiki kereta cikgu kami. Setelah sampai, kami dikehendaki berlakon bagi menyiapkan rakaman video. Kemudian, kami dijemput untuk menikmati juadah yang disediakan oleh cikgu kami. Antaranya ialah dadih dan pelbagai jenis kuih raya. Apabila perut sudah penuh dengan makanan (sehingga susah nak bangun),  kami meneruskan lakonan kami. Tepat pukul 12:00 tengah hari, kami dihantar oleh cikgu ke sekolah semula.


                   

Pengenalan


Hai. Saya Anis Humaira, ketua kumpulan Inspector Junior Girls . Saya dan rakan-rakan saya menubuhkan blog ini di atas arahan daripada cikgu kami. Kami merupakan pengawas denggi di sekolah. Untuk pengetahuan semua, sekolah kami telah membuat program 1 Hari 1 Soalan. Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut, sila klik link di bawah :
http://skj3denguepatrol.blogspot.com/2012/09/selamat-datang-ke-blog-sejati-dengue.html